Friday, October 21, 2011

PESAN BUAT DIRI

Hakikat sebuah perjalanan hidup.... Ubudiyyah kepada Allah

Wahai diri...
Perjalanan ini adalah perjalanan ubudiyyah mu kepada Allah s.w.t.
Sentiasalah bermuraqabbah tentang adab-adab mu dengan Allah s.w.t.
Allah tidak melihat amal kebajikan zahiriah semata-mata, tetapi...
Apa yang dilihat ialah sejauh manakah sifat kehambaan mu kepada Nya.
Justeru itu wahai diriku yang hina, kenalilah diri ini sendiri kepada asal mu yang tiada memiliki sesuatu.
Hidup hanyalah di atas kasih sayang  Nya.
Dia menciptakan diri ini untuk sentiasa memuji Nya dengan penuh kecintaan dan kerendahan diri hingga lahirlah pada diri ini kehinaan yang hakiki di sisi Nya...



Fahamilah....
Apa sahaja yang diri ini lakukan adalah untuk menuju hakikat kehambaah yang hakiki.
Apa yang dimaksudkan dengan kehambaan?
Iaitu diri ini yang fakir, dan orang yang fakir adalah orang yang tiada memiliki apa pun pada dirinya.

Wahai diri...
Jangan kamu terpedaya dengan ibadah mu kerana ibadah mu itu belum tentu diterima Nya.
Jangan kamu terpedaya dengan ilmu mu kerana ilmu mu belum tentu dapat kamu amalkan.
Jangan kamu terpedaya dengan dunia mu dan apa yang kamu miliki kerana ia adalah milik Tuhan.
Dan segala apa yang ada di tangan mu adalah diatas belas kasihan Nya.

Wahai diri...
Kasihanilah diri mu jika kau diselaputi perasaan takabbur.
Ini bermakna kau jahil dengan apa yang telah kau lakukan.
Kejahilan akan mengheret mu kepada kesesatan dan penyelewengan.
Allah tidak akan melihat kepada amal mu jika desertakan dengan peresaan takabbur.
Walaupun diri mu menyembah Allah, tapu hakikatnya kau menentang Allah.

Seorang hamba ialah seorang yang tidak punya apa-apa.
Segalanya milik Allah.
Jadi, mengapa harus merasa sombong dan takabbur?
Sifat itu hanya layak bagi Allah.
Ingatlah, diri ini hanyalah pengemis di sisi Allah.
Mengemis belas kasihan Nya, diri ini kotor dan kelaparan..
Jadikanlah amal-amal mu itu tempurung untuk mengisi belas kasihan Nya, bukannya berbangga dengan tempurung itu.
Itu adalah sifat orang yang jahil dengan Allah dan dirinya sendiri.
Tiada lain maksud mu, hanya Allah menjadi tujuan mu.
Hati mu mestilah sentiasa bimbang akan kemurkaan Tuhan.
Dengan ilmu, kefahaman dan jalan yang kau  miliki, ia adalah amanah Allah yang perlu disebarkan kepada seluruh umat manusia.
Setiap amanah akan dipersoalkan oleh Allah dari yang kecil hingga yang besar.

Tanamkan diri mu dalam tanah kerendahan agar benih yang ditanam nanti akan subur dan memberi manfaat.
Rendahkanlah hati mu agar amal dan ilmu mu memberi manfaat kepada jiwa mu sehingga mencapai maqam hati orang-orang yang arif, jiwa yang tenang dan merindui Tuhan.
Apabila menghadap Tuhan, jangan dihitung amal mu kerana amal melambangkan khidmat mu kepada Tuhan.
Sedangkan, renungkan sebaiknya, adakah sudah tinggi khidmat mu jika dibandingkan dengan Tuhan yang memberi khidmat kepada mu.
Dia menjaga mu setiap masa, perjalanan darah, kerdipan mata, denyutan jantung, nafas yang terhela dan nikmat Nya yang tak terhitung.
Hitunglah kehinaan diri mu, maksiat mu dan kelalaian mu.
Jangan cemas jika kau kurang amal untuk menghadap Allah.
Kerana rasa hina itulah sifat sejati seorang hamba yang hanya mengharap rahmat kasih sayang dari Allah.

Jika ditanya, "Apakah amal kamu yang kamu bawa kepada Ku?"
Katakan... "Tiada apa wahai Tuhan ku, hanya sekeping hati yang cinta pada Mu, sekeping hati yang merasa hina di sisi Mu dan sekeping hato yang sentiasa yakin dengan belas kasihan Mu."



2 comments:

  1. menjentik hati untuk merenungi erti muhasabah. Jazakallah ya ukhti

    ReplyDelete