Friday, May 29, 2015

KECEWA DAN DIPERSIA

Menebas semak dan cuba membersihkan sawang yang bersarang.

Minggu ini, aku kira minggu yang cukup suram bagi aku. Dihimpit dengan berita yang aku sudah jangka, namun tak menyangka akan menampar dalam sela waktu yang rapat. Mungkin ini "panggilan bangkit" barangkali bagi aku.

Selama ini aku cukup merasa selesa dengan apa yang aku punya. Itu yang aku perlihatkan pada mereka. Namun, jauh di sudut hati aku masih berjaga. Peristiwa 3 tahun lepas yang membawa aku merasa betapa tiada warna hidup tanpa kerja.

Pengalaman yang membawa aku ke daerah rasa yang seperti dipersia dan dilepaskan begitu saja. Ketika itu yang aku belum bersedia. Tapi, hari ini, saat ini, aku merasa lebih gembira. Redha dengan apa yang bakal aku terima.

Benar, pengalaman lampau mengajar menjadi lebih dewasa. Pengalaman lampau menjadikan kau lebih dewasa. Berfikir dalam corak yang lebih sempurna.

Tapi, aku ini manusia biasa. Tetap akan ada rasa yang seperti kecewa. Ya, kecewa. Bukankah kita manusia biasa yang sering merasa kecewa kerana meletak harapan pada manusia durjana?

Perancangan kita hanya sebatas cuma. Aku merancang untuk tinggalkan segala. Mencuba dalam tapak dan langkah yang berbeza. Menempuh risau yang selama ini aku kumpul dan membentuk ketakutan. Ini masanya untuk aku rempuh. Biar retak dan pecah berderai segala.

Dalam sebal yang aku rasa, masih ada yang sudi menerima. Aku punya kelebihan dalam kekurangan yang aku juga tak pernah terlihat dek mata. Mana mungkin aku mampu melihat apa yang aku ada dengan sempurna. Kerana asyik menatap yang ada di sekitar jasad bernyawa. Sedang lupa apa yang aku punya.

Semalam dan hari ini jaraknya tak lama. Sama juga hari ini dan esok yang bakal tiba. Perjalanan ini bukan perjalanan biasa. Bukan untuk aku sahaja, tapi juga untuk kita bersama. Kalau hari ini aku jatuh, dan aku lupa untuk ucap rasa syukur, aku harap kalian semua ada. Ada untuk ingatkan aku yang esok masih ada walau mati itu bila-bila masa.

Terima kasih Allah untuk persimpangan semalam. Menuntut aku memilih untuk ke pelabuhan seterusnya sebelum aku terus berperanan kembali.

- Cebis Nota : McZue